“Abang, bangun bang. Rasanya air ketuban dah pecah” panggil isteri saya sekitar jam 12.30 pagi pada 6 Mei 2009.
Saya benar-benar terkejut dengan panggilan isteri saya itu. Timbul rasa cemas yang menghilangkan segala mengantuk saya. Sambil membantu isteri memeriksa ’kebanjiran’ tersebut, isteri saya bercerita......
”Tadi duduk ’kira’ sakit, tiba-tiba rasa baby tendang. Sambil tu macam bunyi meletup, pastu rasa macam basah je” isteri saya bercerita lebih lanjut.
”Kita pergi hospital terus ye” saya menyambung.
”Nak abang ambilkan apa” saya bertanya isteri berkaitan pakaian untuk ke hospital. Betul-betul tiada apa yang saya dapat fikirkan ketika itu. Apa sahaja yang disebut isteri saya, saya ambilkan sahaja. Bila saya tidak pasti yang mana satu, saya ambil semua sekali meminta isteri saya memilih sendiri.
”Takpe, takpe. Nanti abang uruskan yang itu” ucap saya ketika melihat air ketuban mula melimpah membasahi katil sambil membantu isteri memakaikan bajunya. Apabila mula bergerak dan cuba berdiri, air ketuban sudah mula bertakung di tepi katil.
Syukur hampir semua keperluan lain isteri dan baby sudah disiapkan di dalam beg. Hanya menunggu untuk ’disambar’ sahaja
Perjalanan ke hospital
”Adui, sakit bang. Slow sikit” jerit isteri saya ketika kereta kami menaiki bumper jalan.
”Tak sakit sepanjang masa, on and off. Kalau tak sakit, boleh abang bawa laju sikit. Kalau sakit sayang bagitau”
“Rasanya dah 3 in 10” terang isteri saya merujuk kepada kekerapan sakit yang berlaku 3 kali dalam setiap 10 minit.
Saya gembira kerana jalan raya lapang pada ketika itu. Tiada kesesakan. Ialah, jam pun sudah menunjukkan hampir 1 pagi.
”Kelakar tengok abang kat rumah tadi. Macam tak keruan” tiba-tiba isteri ketawa bila dia teringat gelagat saya di rumah sebentar tadi.
”Betul. Entah kenapa abang rasa panik betul. Mana sangka tiba-tiba pecah air ketuban tengah malam” saya menyambut.
”Nak ambil apa lagi?”, ”ada apa-apa lagi?”, ”Sayang OK ke?” dia mengajuk saya dengan mengulang pertanyaan-pertanyaan saya di rumah sebelum kami bertolak tadi.
Sempat juga dia mengenakan saya ketika itu. Tetapi tidak apa, sekurang-kurang saya tahu dia masih boleh menahan sakit on-off yang dialaminya.
Hospital LikasMemasuki kawasan Hospital Likas, suasana malam itu agak lapang. Di kawasan Jabatan Kecemasan & Trauma, kelihatan kelibat orang keluar dan masuk. Mungkin kakitangan, mungkin juga orang awam yang menemani saudara yang sakit.
Saya cuba mencari tempat meletak kereta yang paling dekat dengan pintu masuk. Nasib baik waktu begini, boleh juga saya meletak kereta sementara di tepi jalan. Selepas mendapatkan kereta sorong, saya membawa isteri terus ke Bilik Penilaian Bersalin (PAC).
”
Leaking” jelas isteri saya kepada jururawat di sana sambil tersengih.
Saya membiarkan isteri saya seketika di situ setelah membantu dia naik ke katil. Saya tahu isteri saya tahu apa hendak dibuat kerana dia sendiri pernah kerja di situ. Lagipun semua kakitangan di situ mengenalinya.
Setelah memindahkan kereta di tempat letak kereta, saya masuk semula ke hospital sambil membawa semua pakaian terutamanya pakaian dan kelengkapan
baby.
Sambil menunggu mesej dari isteri saya, saya menunggu di ruang hadapan PAC. Tidak keruan juga saya melihat ruangan itu penuh dengan orang yang bermacam-macam gaya tidurnya.
Ada duduk, ada baring atas kerusi, ada baring atas meja. Ada juga yang lengkap berselimut. Macam-macam ragam.
”Tiap-tiap hari macam ni ke?” tanya hati saya. Bukan apa, sesuatu yang ’tidak manis’.
Terasa juga untuk bertegur dengan seorang lelaki untuk berborak bagi menghilangkan bosan, tetapi dia kelihatan menunggu sesuatu. Hendak membaca lagi tidak sesuai kerana hanya menambah mengantuk.
Dewan BersalinSekitar 2.15 pagi, isteri saya ditolak masuk ke Dewan Bersalin oleh orang jururawat setelah bukaan 3cm. Saya yang berada di situ terus mengikut isteri saya ke dalam Dewan bersalin.........bilik no 5.
Perkara pertama yang saya ingat, saya membantu isteri ke bilik air. Setelah urusan itu selesai, saya memanggil jururawat untuk memasang CTG.
Nampak isteri saya makin kuat dan kerap sakitnya. Dia meminta saya mengurut pinggang dan kakinya bagi mengurangkan rasa sakit dan tegang. Adakala, saya pun tidak tahu apa hendak dibuat kerana diurut dan dipegang manapun serba tidak kena.
Isteri saya makin lebih banyak mengaduh sakit. Mukanya sudah tidak boleh tersenyum-senyum lagi sebagaimana mula masuk ke Dewan Bersalin. Saya hanya berdiri di sisi, mengurut yang mana boleh, membaca zikir atau ayat-ayat/surah-surah, sambil cuba menenangkan isteri.
Setelah sekitar satu jam di Dewan Bedah, doktor datang memasang epidural bertujuan mengurangkan sakit. Lega juga saya bila nampak isteri saya kelihatan kurang sakit. Tetapi bila masa terus berlalu, sakit makin bertambah semula sebagaimana awal.
Entah, mungkin dos/ kadar infusinya tidak cukup dengan
density kesakitan semasa.......atau pelbagai kemungkinan lagi. Biarpun pernah lama bekerja di hospital, saya tidak pernah ambil tahu perihal ini.
Begitulah perihal dan perkara yang berlaku untuk beberapa jam sehingga masa melewati masuk waktu Subuh. Resah juga saya kerana memikirkan ruang untuk solat Subuh. Di selang masa-masa itu, saya keluar bertanya itu dan ini kepada jururawat dan doktor, meminta selimut dan air suam untuk diminum. Saya cuba hadkan perkara-perkara itu kerana nampak mereka sibuk.
OS fullyKalau ikut sepatutnya, pemeriksaan vagina (VE) dilakukan sekitar jam 4.30 pagi. Tetapi tiada yang datang bertandang untuk melaksanakan prosedur itu oleh doktor mahupun jururawat. Isteri saya makin kelihatan tidak keruan menahan kesakitan.
Saya serba-sedikit cemas bila melihat bacaan di mesin CTG menunjukkan peningkatan
contraction. Setiap kali nilai itu meningkat, saya pula yang seperti cuba menahan sakit. Lebih cemas bila nilai itu bertahan pada nilai yang tinggi agak lama. Dan rasa lega bila nilainya mula menunjukkan penurunan.
”Macam mana lah kalau saya duduk tempat dia sekarang” bisik hati saya melihat isteri saya.
Jam sudah menunjukkan lebih 5.30 pagi, tetapi tiada kakitangan hadir membuat VE. Saya cuba memanggil mana-mana kakitangan di kaunter, tetapi tiada siapa di sana, mungkin ada kes kecemasan.
Akhirnya, isteri saya membuat VE sendiri.
” Ya Allah dah
fully ni..dah boleh bersalin dah ni” ucap isteri saya.
Saya cuba menjenguk keluar di kaunter, masih tiada yang
available. Akhirnya saya menekan
emergency button di bilik.
”Sister, isteri saya buat VE sendiri. Katanya macam
OS fully ” terang saya kepada Ketua Jururawat yang kebetulan baru masuk ke Dewan Bersalin.
Sejurus selepas itu seorang jururawat masuk dan membuat pemeriksaan. Benar
OS fully.
Serta-merta jururawat tersebut menyiapkan segala persiapan........membuka alat-alat prosedur, mengalihkan tilam bahagian bawah katil, memasang alat meletak kaki di hujung katil dan pelbagai lagi.
Hospital Rakan Suami”Encik, boleh tolong saya” pinta jururawat tersebut kerana tiada siapa dapat membantunya ketika itu. Kebanyakan kakitangan lain menguruskan kes kecemasan di bilik lain dalam Dewan Bersalin tersebut.
Seronok juga
assist jururawat membuat itu dan ini. Mengambil dan membuka jarum, menyediakan alat-alat di troli perkakas bersalin, membetulkan keadaan katil, memasang dan menyalakan
suction machine dan sebagainya. Rasa seperti saya pula kakitangan di sana.
Alhamdulillah, saya tidak panik atau takut dengan suasana dan persekitaran begitu. Mungkin sudah banyak kali keluar masuk bilik Bersalin semasa bertugas hospital sebelum ini walaupun tidak pernah turut serta dalam proses di situ. Juga pernah
join pembedahan (sebagai pemerhati @ ’penyibuk?) di dewan bedah. Apatah lagi proses mengkhatan. Pengalaman-pengalaman itu serba sedikit membantu saya bertenang ketika suasana tegang yang sama berlaku kepada ahli keluarga saya sendiri.
Bukan apa, sesetengah sahabat pernah bercerita mereka betul-betul panik ketika menemani isteri mereka bersalin. Ada yang menyerah kalah keluar dari dewan bersalin, menutup mata tidak sanggup melihat, rasa nak termuntah, ’melekap’ ketakutan di dinding dan sebagainya.
” Isteri sendiri...................kalau orang lain mungkin OK kot” jawapan yang biasa diberikan.
”Darah banyak sangat” juga antara jawapan yang popular.
Apa pun jawapan diberi oleh sesiapapun, pengalaman menemani isteri saya di dewan bersalin benar-benar menjadi kenangan manis buat saya. Biarpun tidak mampu berbuat apa-apa dalam banyak keadaan, saya yakin kehadiran suami untuk menemani isteri boleh mengubah persekitaran emosi buat si isteri.
Sebab itu saya selalu mempromosikan perkara ini kepada sahabat dan kenalan selepas pengalaman itu.
”
Ko ambillah kursus (
pre-antenatal), ambil ’lesen’ teman isteri
ko masuk
labour room” cadang saya kepada sahabat lelaki.
”Ajak suami pergi ambil ’lesen’ masuk teman di
labour room” cadang saya kepada sahabat perempuan pula.
Baby”Dah nampak kepala
baby” ucap saya kepada isteri ketika dia meneran. Terus-terang saya katakan saya benar-benar teruja ketika itu.
Girang benar saya ketika itu. Tambahan pula isteri saya nampak kurang sakit ketika mula meneran tadi. Bukan tidak sakit, sakit ketika meneran adalah sakit di ’bahagian’ lain pula. Mungkin sakit di bahagian ini lebih mudah ditanggung barangkali.
Seperti meniru lagak jururawat yang menjadi mak bidan di situ.
”Sikit lagi, ambil nafas dulu.......lepas tu
push” ucap saya mengulang ayat mak bidan.
”Kalau penat, rehat sekejap dulu” ucap saya kepada isteri ketika nampak dia keletihan. Juga meniru dan mengulangi ayat mak bidan.
Entah berapa kali meneran saya pun tidak tahu. Tidak terfikir pula saya untuk mengira. Yang pasti bukan dua atau tiga kali..................lebih daripada itu.

Tambah gembira ketika mula dapat melihat anak saya sendiri dengan mata kasar (sebelum ini hanya melalui
ultrasound) dan mendengar tangisannya. Sudah berbulan-bulan saya menunggu saat itu. Rasa penantian sebelum ini benar-benar sudah ’terlepas’.
Setelah selesai urusan
suction, memotong tali pusat dan membalut
baby, saya mengambil kesempatan untuk mengazankan dan iqamah ke telinga anak saya.
”Ni antara kelebihan kalau kau masuk
labour room.......boleh azan dan iqamah awal-awal lagi” promosi saya kepada sahabat-sahabat saya.

Juga meletak sedikit buah kurma dan air zamzam ke dalam mulut anak saya.........memulakan kehidupan anak saya dengan perkara-perkara menjadi tuntutan. Semoga permulaan yang baik membawa kebaikan berterusan. Saya sedar itu adalah tanggungjawab saya dan isteri yang baru bermula (lebih tepat sebenarnya dikatakan sejak anak ini mula dikandungkan 9 bulan yang lalu).
Setelah selesai mengazan dan mengiqamah, anak kami dibawa keluar dari bilik bersalin. Sementara itu, jururawat yang menjadi mak bidan menjahit bahagian yang berkaitan pada anggota isteri saya. Ketika itu barulah saya mula rasa keletihan, juga kelegaan. Isteri dan anak saya keduanya telah selamat. Alhamdulillah juga cukup sifat anak saya.......kerana saya yakin inilah antara harapan besar setiap ibubapa kepada setiap anak yang dilahirkan.
Berpindah ke wad.Lama juga kami di dewan bersalin. Daripada anak saya dilahirkan jam 6.14 pagi, sekitar jam 10.00 pagi lebih, barulah isteri dan anak saya dipindahkan ke wad.....Wad K1 di Hospital Likas. Mereka ditempatkan di bilik wad yang cuma mempunyai 2 katil. Bagus juga, tidaklah kekok sangat saya di situ kerana agak
privacy.
Ketika itulah adik saya melawat kami, membawa bersama kawan-kawan sekerjanya ketika jam melebihi hampir 6 petang. Kawan-kawan isteri saya juga mengambil kesempatan melawatnya termasuk yang sememangnya bertugas di Hospital Likas mahupun wad K1 itu sendiri........melawat dan merawat!!!
Pengalaman hari pertama itu begitu bermakna walaupun amat meletihkan. Abah dan mama yang masih berada di Kuala Lumpur dimaklumkan dari masa ke semasa. Begitu saya berita dan hebahan yang disampaikan kepada keluarga sebelah mentua di Alor Setar, Kedah. Yang mana saya rasakan sesuai, saya menghantar gambar anak saya menggunakan MMS. Begitulah sedikit gambaran suasana ’keriuhan’ dan keterujaan setiap individu yang sama-sama meraikan kelahiran anak kami.
”Encik, masa melawat dah tamat” tegur ’makcik jaga’ kepada saya ketika malam mula melabuh dan semakin larut. Nampak dan perasan juga dia akan saya yang separa ’sembunyi’.
Berat juga saya meninggalkan wad dalam keadaan isteri saya yang masih lemah (petang itu, dua kali pitam di dalam tandas.......syukurlah saya menemani dia). Saya akur dengan peraturan. Membawa bersama saya ketika itu adalah uri anak saya.
Seusai solat isyak di rumah, saya bercadang membasuh dan menanam uri. Keseorangan di rumah ketika itu, saya runsing memikirkan akan bagaimana menguruskan uri tersebut. Bukan kerana takut darah atau tidak yakin, tetapi begitu banyak petua-petua yang diterima sejak beberapa hari lalu. Kena ada paku, asam keping, garam kasar, jarum, pilih kawasan begini untuk ditanam, kawasan begitu tidak berapa elok, kena cuci itu dulu, kena begini dan sebagainya.......................akhirnya saya ’terjelepuk’ di ruang tamu tanpa membuat apa-apa pada malam itu sehingga ke Subuh hari.
Selesai solat Subuh, saya segera bersiap untuk pergi semula ke hospital. Gembira dan syukur kerana semuanya baik. Selesai mengemas beg dan barang di sisi katil, memimpin isteri mandi, menjaga anak seketika sambil isteri mengambil sarapan, saya kembali pulang ke rumah........misi membasuh dan menanam uri masih belum selesai, perlu diselesaikan segera.
Sudah cukup barang-barang yang perlu. Tidak ada apa-apa lagi barang yang perlu dibeli. Saya mengambil keputusan menguruskan uri anak saya untuk cukup sekadar memenuhi tuntutan dan menghormati uri itu sendiri sebagai sebahagian dari anak saya di dalam rahim. Tidak ada perkara-perkara tambahan yang menjadi amalan
turun-temurun yang dapat saya layan ketika itu.
Saya dimaklumkan melalui telefon bahawa isteri dan anak saya dibenarkan keluar dari wad. Sebelum tengah hari, saya tiba semula ke wad. Apabila telah lengkap segala dokumen yang diserahkan kepada kami, saya lantas ke farmasi mengambil ubat, ke unit hasil membuat pembayaran, juga ke kaunter Jabatan Pendafataran Negara untuk membuat Surat Beranak bagi anak saya.
Selesai mengangkat barang dan menumpang solat Zohor si hospital, kami berangkat pulang ke rumah. Bermula dari saat itu, ahli Baiti telah bertambah dari dua kepada tiga. Selamat datang Muhammad Faateh Nayeel Bin Firdaus.
Muhammad bermakna terpuji juga merupakan nama kepada Rasullulah, Nabi terakhir kita. Faateh bermakna pembuka, juga bersempena nama Sultan Muhammad Al-Fateh, pemerintah yang bertanggungjawab membuka Constantinople. Dan Nayeel bermaksud suka memberi. Kami mengharapkan nama yang diberi ini mencerminkan peribadi Muhammad Faateh Nayeel.
Artikel ini mula saya karang ketika Muhammad Faateh Nayeel hanya berumur beberapa hari. Tapi ia tergendala sehingga ke saat ini. Ketika saya menaip bait-bait akhir dalam artikel ini, umur Muhammad Faateh Nayeel sudah menjangkau kurang 2 hari untuk mencapai 3 bulan. Berat badannya hari ini juga hampir mencecah 2 kali ganda dari beratnya ketika dilahirkan dahulu.
Saya mengharapkan artikel ini tidak membosankan buat saya, isteri, atuk dan neneknya, bapa saudaranya, ibu saudaranya, dan sesiapa sahaja yang sudi berkongsi cerita. Kerana membacanya sekali imbas, saya merasakan ianya begitu
dan panjang.
Tetapi itulah yang saya rancangkan. Kerana saya mengharapkan Muhammad Faateh Nayeel akan membaca sendiri artikel ini ketika dia boleh membaca sendiri nanti. Ketika itu, mungkin saya boleh ceritakan sendiri kepada dia apa yang berlaku. Tetapi saya yakin, tulisan ini mempunyai kesan dan impak yang unik dan tersendiri.............membantu Muhammad Faateh Nayeel lebih mengenali diri sendiri.
Salam sayang dari Abi dan Ummi. Terima kasih Allah menghadirkan Muhammad Faateh Nayeel dalam hidup kami.